Wednesday, January 12, 2011

Metro

MELAKA: “Perjalanan esok agak jauh, malasnya nak balik Segamat!”, adalah status dalam Facebook pelajar Diploma Pengurusan Perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Johor, kelmarin, sebelum dia maut akibat nahas jalan raya di Lebuh Raya Ayer Keroh berhampiran persimpangan lampu isyarat Gapam, di sini, semalam.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 12.45 tengah hari apabila motosikal ditunggang Muhammad Farhan Abdul Rahim, 20, dipercayai bergesel dengan motosikal dinaiki rakannya menyebabkannya terjatuh dan kepalanya terhentak ke jalan raya.


Lebih memilukan mangsa juga kempunan menikmati makan tengah hari nasi bekal bersama lauk ayam masak kicap yang dibawa dari rumah neneknya di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan, yang turut bertaburan di atas jalan raya.

Difahamkan, mangsa menunggang motosikal sendirian untuk ke rumah rakannya, Muhamad Asyraf Posari, 19, di Kampung Bukit Durian, Umbai, Merlimau, dekat sini untuk makan tengah hari sebelum bertolak pulang ke kampus.


Mohd Asyraf berkata, sebelum kejadian, arwah menghubunginya kira-kira jam 10 pagi memaklumkan dia berada di Restoran Jejantas Ayer Keroh dan memintanya menunggu di sebuah stesen minyak di Ayer Keroh.


“Sebaik sampai untuk menjemputnya, arwah bertanya kenapa saya lewat sebelum kami bertolak ke Umbai, namun ketika menuruni kawasan berbukit menghampiri ke persimpangan lampu isyarat berkenaan, tiba-tiba motosikalnya bergesel dengan motosikal saya lalu terbabas.

“Saya dapat mengawal motosikal, tetapi motosikal arwah bergesel dengan sebuah Perodua Kancil di depan menyebabkan motosikalnya berpusing lalu dia terjatuh,” katanya yang ditemui di tempat kejadian, di sini.


Mohd Asyraf berpatah balik dan melihat darah banyak keluar dari kepala rakannya itu.

Dia cuba mengangkat Muhammad Farhan yang ketika itu masih bernyawa dan menggigil, namun dilarang orang ramai yang bimbangkan kecederaannya bertambah parah.


Bagaimanapun, katanya, tidak lama kemudian rakannya itu menghembuskan nafas terakhir.


“Kami berjanji pulang ke (UiTM) Segamat selepas solat Zohor dan kejadian ini amat menyedihkan. Muhammad Farhan rakan yang baik dan kami memang rapat kerana pernah tinggal bersama selama setahun,” katanya.


Ibu mangsa, Aina Kassim, 49, berkata, dia dan suaminya, Abd Rahim Wahab, 58, reda dengan kejadian itu walaupun amat sedih.


Katanya, suaminya mengetahui kejadian malang itu selepas dihubungi polis dan datang mengambilnya di tempat kerja.


“Saya amat terkejut. Baru malam tadi (kelmarin), kami sekeluarga makan bersama dan ketika itu Muhammad Farhan kelihatan gembira sambil menonton filem Seniman Bujang Lapok di televisyen.


“Itulah kali terakhir saya melihatnya sebelum keluar bekerja kira-kira jam 4 pagi tadi (semalam),” katanya sebak ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka, di sini.


Ketua Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Superintendan Poon Nam E Kling berkata, kejadian dipercayai berpunca apabila motosikal dinaiki mangsa yang berada di belakang bergesel dengan motosikal ditunggang rakannya.


Menurutnya, berikutan itu mangsa terjatuh menyebabkan berlaku hentakan kuat pada kepala manakala rakannya hanya cedera di kaki.


Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat dan pihak polis masih menyiasat kemalangan itu.

source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Taksempatjamahbekal/Article/index_html

Ya Allah tak tahu nak cakap apa. Rasa sedih, terkilan semua ada.. Yang mampu hanya sedekah Al-Fatiha dan berdoa untuknya..


1 comment:

Anonymous said...

Alfatihah.